DI MANAKAN KU CARI GANTI.....MAKAN...
Wednesday, November 11, 2009
Makan minum adalah di antara naluri manusia disebut juga sebagai suatu tabiat atau kelaziman atau adat kebiasaan. Memenuhi keperluan tabi’ei atau adat kebiasaan naluri manusia itu adalah perkara yang dihukumkan harus. Setiap yang harus jika hendak ditingkatkan darjatnya menjadi ibadat, hendaklah disertakan dengan niat.
Makan minum akan menguatkan keyakinan seseorang terhadap Allah sekiranya dapat difikirkan tentang setiap butir nasi yang dimakan itu dan bagaimana proses sebelumnya. Sejak benih padi disemai, air dialirkan ke sawah mengikut keperluannya sehingga padi menjadi subur. Terfikirkah oleh kita? Apa akan jadi sekiranya Allah datangkan musim kemarau, air kering kontang dan bumi menjadi merekah hingga padi pun layu sebelum berbuah.
Perhatikan nikmat Allah pada sepinggan nasi yang sedang tersaji. Mungkin dilengkapi pula dengan ikan masak lemak cili api atau kari kepala ikan campur dengan sambal belacan. Petani dan jelapang padi mana yang mengusahakan padi, pekebun dan ladang mana pula yang menghasilkan kelapa untuk diperah santannya, bawang, lada, asam serta segala rempah dan perencah yang melazatkan gulai dan kari itu. Periuk belanga untuk mentanak nasi dan masak gulai, entah diimport dari negara mana, begitu juga dengan barang pembakar gas atau minyak tanah dari perut bumi mana ia dikeluarkan, sehingga suri rumah dapat memasak sajian dengan begitu sempurna.
Untuk sepinggan nasi, di luar kesedaran kita bahawa Allah telah mengarahkan begitu banyak tenaga manusia di serata tempat di pelusuk dunia bagi memenuhi naluri manusia yang memerlukan makan minum, sejak dari petani yang menghasilkan beras, para nelayan yang menghasilkan tangkapan ikan, peladang yang menghasilkan sayur-sayuran, para jurutera dan pekerja petroleum yang menghasilkan gas dan minyak, pengusaha lombong dan juga industri logam untuk menghasilkan periuk belanga dan alat memasak.
Ditambah pula dengan lesung batu untuk menumbuk sambal. Kajian ahli geologi mendapati kepejalan batu sehingga menjadi begitu keras memerlukan jangka masa pemerapan ribu atau juta tahun. Demikian Allah telah pejalkan batu itu di perut gunung sehingga ia amat keras, bukan sekadar boleh dijadikan lesung batu, malah boleh dimanfaatkan untuk membina jalan raya, jambatan, bangunan dan sebagainya.
Orang yang menikmati sajian nasi dengan segala lauk pauk itu, setelah kenyang dan sendawa barulah nak mengucap ’alhamdulillah’ sedangkan Allah telah kerahkan berbagai pihak di pelbagai pelusuk dunia, ribuan manusia bekerja keras untuk menyempurnakan sepinggan nasi itu.
Dengan demikian amat wajarlah manusia bersyukur dan berzikrullah sekurang-kurangnya 360 kali dalam sehari sesuai dengan jumlah sendi yang Allah ciptakan untuk manusia. Jika hendak dibanding dengan nikmat Allah itu tidaklah setanding dengan 360 kali berzikir, malah ribuan kali pun tidak akan berbalas nikmat tersebut.
0 ulasan: to “ DI MANAKAN KU CARI GANTI.....MAKAN... ”
Post a Comment