DALAM PERJUANGAN INI........HPA
Monday, November 2, 2009
Ingatan Untuk Sahabat
Pergilah sahabat semua, teruskan perjuangan kita, agar Islam dapat bangun dan bangkit semula. Sahabat , dalam menyusuri jalan perjuangan, jangan lupa memandang di belakang sejarah yang sering mengingatkan kita jerih perit para pejuang terdahulu, untuk kita jadikan pedoman dan pengajaran, bahawa jalan menuju bahagia itu tidak mudah, jalan menuju syurga itu penuh kepahitan yang tidak kita impi-impikan untuk melaluinya.
Jalan perjuangan yang kita akan selusuri itu banyak benar denai duri yang tajamnya tidak terkata, sakitnya menusuk jiwa, air mata akan selalu mengalir, peluh keringat dan pengorbanan akan sentiasa membaluti tubuh. Sebab itu sahabat, sudah aku nyatakan berkali-kali, hidup ini perlukan dorongan seorang teman, teman di jiwa adalah iman, teman sepanjang perjalanan adalah Tuhan, teman suka duka adalah kawan-kawan kita iaitu manusia yang faham apa erti kehidupan. Sahabat, perjuangan yang kau tempuhi sebentar lagi akan menyebabkan engkau rasa putus asa, kecewa, sebak dan sedih yang tidak terkata.
Maka kuatkanlah semangatmu, selalulah panjatkan doa kepadaNya, kita jadikan malam-malam sebagai taman munajat kepada Tuhan. Dia tidak akan melupakan kita, Dia akan selalu mendengar rintihan kita dikala manusia kelu untuk berkata-kata. Dari situ kita suburkan kasih sayang dan cinta kepada Tuhan.
Perjuangan Itu Pengorbanan
Sahabat, perjuangan dalam jalan dakwah menuntut pengorbanan jiwa yang bukan sedikit, ingatlah setiap antara kita sememangnya berkewajipan untuk meneruskan tugas warisan para anbiya’ ini. Kerana cahaya Islam semakin suram di mata hati umat Islam sendiri.
Sebab itu sahabat, sudah aku katakan tadi, cahaya Islam itu semakin suram, api pelitanya yang menerangi alam tidak seperti di zaman-zaman kebesarannya.
Warisan Tugas Dakwah
Sahabat, tugas dakwah ini tugas kita, sebab kita telah belajar apa erti kesusahan Rasulullah dalam menyebarkan agama, kita telah merasai kemuliaan para sahabat yang mengalirkan air mata pengorbanan hingga dapat membangunkan Islam di seluruh pelosok dunia. Mereka bangun dengan semangat jihad yang dibentuk oleh al Quran dan sunnah Rasulullah, di hati-hati mereka tiada perasaan gentar atau takut selain dari Allah.
Mereka faham benar apa yang dimaksudkan di dalam ayat “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya” Surah As Saff ayat 2-3. Sebab itu sahabat, dengan nasihat yang lahir dari lubuk hati ini, dengan ikhlas aku menyatakannya kerana aku ingin melihat cahaya Islam itu semakin gemilang, agar Rasulullah mampu tersenyum andainya melihat sinarnya Islam selepasnya tidak kunjung padam. Moga-moga dengan amal ikhlasmu dalam juang HPA ini akan dipandang oleh Allah dan diredhaiNya di dunia dan di akhirat
ANAK WATAN HPA 02 NOV 09
Apabila kita hidup hanya untuk kita, hidupnya amatlah singkat. Bermula dari bermulanya kita dan berakhir dengan berakhirnya umur kita yang terbatas. Tetapi jika kita hidup kerana selain dari kita, hidup kerana fikrah, sesungguhnya hidupnya panjang dan mendalam. Bermulanya daripada bermulanya manusia dan berakhir dengan luputnya manusia di bumi ini. Jika kita merasakan kita yang memulakan perjuangan ini, kita akan merasa sempit dada menghadapi kematian (kerana perjuangan belum mencapai matlamat). Ingatlah, bukan kita yang memulakannya dan bukan kita yang mengakhirinya. Ia dimulakan oleh para Nabi hinggalah ke akhir zaman. Kita adalah mata rantai dari suatu perjuangan yang panjang.
0 ulasan: to “ DALAM PERJUANGAN INI........HPA ”
Post a Comment