Keterangan Lanjut Sila Hubungi: Tel 013-4117745 ONLINE BORANG PESANAN PATI MINYAK ZAITUN

HIMPUNAN KHUTBAH HALAL TUBE

SATU PENGUKUR BARU...SOALAN  

Tuesday, December 29, 2009




Saya menyangka soalan yang dikemukakan itu sangat mudah. Tentulah mudah, kerana mereka sebagai orang Islam telah belajar mengenainya dalam subjek Pendidikan Islam untuk PMR, di samping dalam subjek Sejarah Tingkatan 4. Itu jangkaan saya ketika mengubal soalan untuk peperiksaan akhir tahun.
1. Sebab-sebab Nabi Muhammad saw berhijrah dari Makkah ke Madinah
2. Apa kepentingan hijrah dalam sejarah perkembangan Islam.
3. Bagaimanakah konsep hijrah dapat diamalkan dalam kehidupan seorang pelajar.
Ternyata jangkaan saya itu meleset.
Tidak ramai pelajar yang berjaya menjawab soalan tersebut mengikut kehendak skema jawapan. Ya, ada pelajar daripada kelas yang agak lemah tetapi itu tidak seharusnya menjadi alasan untuk mereka gagal menjawab dengan memuaskan. Lagipun mereka adalah orang Islam, bukan? Setiap tahun mereka menyambut Maal Hijrah, membaca artikel tentang penghijrahan Rasulullah, masakan mereka masih tidak tahu apa itu hijrah?!

Kecewa? Sudah tentu! Terasa diri gagal sebagai seorang guru, walaupun subjek Sejarah bukanlah opsyen saya [diminta mengajar kerana kekurangan guru].
Saya lebih kepada terkilan. Mengucap panjang. Walaupun telah diterangkan berulang-kali semasa mengajar dan ketika membuat ulangkaji [tak kira ceramah Maal Hijrah yang diadakan di sekolah setiap tahun], apakah yang dipelajari oleh anak-anak kita?

1. Mereka lupa bahawa Nabi Muhammad saw berhijrah kerana turunnya wahyu daripada Allah swt. Ada yang menyatakan bahawa ia berlaku kerana orang Quriasy mahu membunuh baginda. Apabila lupa akan tindakan Nabi berhijrah kerana menurut wahyu Allah, segala konsep tentang hijrah ternyata masih tidak difahami sepenuhnya.
2. Mereka tidak dapat menghuraikan kepentingan hijrah dengan memuaskan.
3. Mereka masih menganggap hijrah bermaksud perlu meninggalkan kampung halaman. Ternyata ramai yang belum memahami bahawa konsep hijrah boleh berlaku tanpa perpindahan lokasi, iaitu dengan berubah dari tingkah laku yang buruk kepada yang baik.
Ya Allah! Inikah konsep hijrah yang difahami oleh remaja kita? Remaja yang bakal mewarisi dunia Islam yang bakal kita tinggalkan kelak? Adakah hijrah bagi mereka bermaksud berpindah, seperti berpindah dari kampung ke bandar? Ataupun hijrah bagi mereka hanya berlaku secara fizikal,disambut dengan perarakan dan cuti umum? Atau cukup dengan membaca doa akhir tahun dan doa awal tahun? [untuk yang nak buat, sebab amalan baca doa ini ada perbezaan pendapat]
Mungkin jangkaan saya terlalu tinggi, entahlah. Bagi saya, kalau remaja Islam berumur 16 tahun masih gagal memahami konsep hijrah dalam kehidupan mereka, itu adalah sesuatu yang perlu dikhuatiri.

Alhamdulillah, tahun ini tahun hijrah 1431 datang ketika cuti sekolah. Lebih mudah untuk membuat perancangan. Apabila direnung kembali segala peristiwa yang berlaku sepanjang tahun hijrah 1430, nampaknya masih banyak yang perlu diperbaiki. Walaupun ada sedikit perubahan, masih terlalu banyak kelemahan diri. Hanya Allah swt yang Maha Mengetahui.

Tahun 1431 Hijrah bakal menjanjikan pengalaman baru yang menarik, insyaAllah. Tiada yang dapat membantu melainkan Allah, dan tiada yang akan berlaku tanpa keizinanNya. Saya berdoa agar diberi kekuatan, kesabaran dan kesungguhan untuk melakukan yang terbaik untuk Islam, untuk diri, untuk keluarga, untuk kerjaya dan untuk masa depan. Keazaman untuk mahu berubah menjadi umat Islam yang lebih baik perlu diterapkan dalam jiwa.

Sepatutnya kita membuat azam baru pada malam ini, bukannya menanti 31 Dismeber untuk membuat azam tahun baru. Saya bukan jenis yang suka menulis azam pada setiap tahun. Saya lebih suka cuba menjawab soalan begini [check-and-balance beberapa kali setahun]:
1. Apakah yang telah dicapai pada sepanjang tahun lalu yang boleh ditunjukkan dengan syukur di hadapan Allah kelak? apa amal jariah yang telah dilakukan dengan ikhlas? [tolak wang dan harta]Puas hati dengan prestasi diri?
2. Apakah kelemahan diri /sifat mazmumah yang masih perlu dibuang? Bagaimana mahu lakukannya?
3. Apakah sifat mahmudah yang masih kurang pada diri? Bagaimana untuk mendidik diri menjadi lebih baik?
4. Apakah sumbangan yang boleh diberikan kepada orang lain dan untuk jalan Allah pada tahun ini? Bagaimana untuk melakukannya? [lebih baik sedikit tetapi berterusan dan tidak membebankan]

AddThis Social Bookmark Button

Email this post


 

Design Sobhi Hassan@ Copyright sobhishpa09